Artikel & Tazkirah
Wanita dan Teknologi Maklumat
´Information Technology´ atau ditafsirkan sebagai teknologi maklumat merupakan jaringan ilmu terkini yang memaparkan betapa hebatnya ketamadunan fikiran manusia kini. Melaluinya, ilmu maklumat dapat disalurkan dengan lebih berkesan yang mana ruang lingkup kumpulan sasarannya juga tidak terbatas kepada kumpulan manusia yang hanya berada di suatu tempat yang sama sahaja.
Teknologi maklumat dan internet adalah merupakan telekomunikasi canggih yang banyak diperkatakan kebelakangan ini. Kemunculannya sejak beberapa tahun yang lalu adalah hasil daripada kepesatan ilmu sains dan teknologi yang sangat hebat perkembangannya, sehinggakan dalam masa yang singkat telah melahirkan berbagai telekomunikasi yang serba canggih dan di luar dugaan.
Menurut Kenneth J. Gergen dalam “The Satured Self: Dilemmas of Identity in Contemporary Life” (2000), “Dengan teknologi canggih, kita memperolehi pandangan dan nilai-nilai dari seluruh sudut dunia. Kita juga mengambil banyak isyarat dari media sehingga identiti kita terus berubah dan kembali diarahkan sebagaimana kita bergerak mengharungi lautan hubungan yang terus berubah.” (Jurnal YADIM, 2001:3).
Gelombang teknologi terkini ini tidak tertuju kepada satu kelompok manusia sahaja. Ia merupakan satu frekuensi kuat yang berupaya memberi impak kepada seluruh alam jagat tidak kira jantina dan bangsa. Teknologi yang datang ini merupakan suatu ´rahmat´ yang besar terutamanya dari sudut ekonomi dan peryebaran maklumat.
Kemunculan teknologi maklumat beserta dengan internet ini juga telah banyak merubah cara hidup manusia. Sistem perhubungan bertambah mudah dan cepat, pembangunan industri bertambah pantas, sistem pendidikan yang bertambah canggih, malah cara manusia berinteraksi sesamanya juga turut berubah. Dunia sekarang seolah-olah kelihatan bertambah kecil, di mana perhubungan tidak ada lagi batas sempadannya.
Industri maklumat yang menjadi kuasa utama penggerak ekonomi abad ke-21 telah membuka banyak peluang pekerjaan baru terutamanya kepada wanita. Kerja yang dimaksudkan itu bukan sahaja terhad kepada membuat pengaturcaraan yang hanya boleh difahami oleh komputer dan penganalisis sistem, tetapi menghasilkan maklumat yang boleh difahami oleh manusia, sama ada pakar atau bukan pakar. Antaranya, membangunkan laman web, mengarang, dan melukis yang memerlukan bakat, kemahiran, latihan, kreativiti, dan pengalaman.
Wanita merupakan kumpulan manusia yang menghuni hampir separuh daripada muka bumi dunia. Sumbangan mereka sama ada dari segi ekonomi, teknologi mahupun sosial tidak boleh dipersoalkan lagi. Di Malaysia, wanita bukan sahaja berperanan di dalam pembentukan generasi akan datang malah mengikut perangkaan gunatenaga negara, peranan wanita pasti meningkat dari tahun ke setahun.
Di Amerika misalnya, satu tinjauan telah dibuat dimana menurut tinjauan berkenaan, wanita akan memenuhi 48% tenaga kerja menjelang tahun 2005 dan akan mengungguli satu pertiga sektor perniagaan di negara tersebut. Selain itu, 48% pekerja wanita akan menyumbang 50% pendapatan keluarga. Perangkaan ini jelas menunjukkan bahawa wanita masa kini berbeza sama sekali daripada dahulu.
Perkembangan lain yang menyusul perubahan itu ialah hilangnya tanggapan bahawa dunia wanita adalah di rumah. Kebanyakan rumah tangga kini memerlukan pendapatan kedua-dua suami dan isteri. Perkembangan ini bukan sahaja membuka peluang baru kepada wanita, tetapi juga mengimbangi hubungan kuasa antara lelaki dengan wanita (Dewan Budaya, Ogos 1998, BIL 8 JIL 20, hal. 20-21).
Wanita yang mempunyai literasi teknologi, terutama literasi komputer mendapati mereka berupaya memperoleh pelbagai jenis kesenangan terutamanya pencarian maklumat dan wujud keluasan peluang komunikasi dan ekonomi. Kelebihan itu disebabkan teknologi maklumat telah mewujudkan fleksibiliti dan peluang yang tidak wujud sebelum ini.
Tiada lagi wujud penyataan mengenai tempat wanita hanya diceruk dapur ataupun hanya mengerjakan kerja-kerja rumah sahaja. Wanita zaman ini adalah wanita yang bergerak seiring dengan kaum lelaki dalam mentadbir segala aspek kehidupan tidak kira dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial.

